Ibu Menyusu,  Susu Ibu

Panduan Penyusuan Untuk Ibu Bekerjaya

Panduan Penyusuan untuk Ibu Bekerjaya
Sekiranya anda telah disahkan hamil, maka bersiaplah dari segi mental dan fizikal sejak dari awal lagi. Berniat dari awal bahawa anda ingin menyusukan bayi anda secara eksklusif sejak dari bayi anda dilahirkan sehingga bayi anda berumur sekurang-kurangnya 6 bulan (fully breastfeed – no formula milk atau air kosong!). In shaa Allah, niat kita yang ikhlas ini akan dibantu oleh Allah. Sentiasa berfikiran positif, berdoalah.. Semoga Allah akan membantu kita. Ingat! Susu ibu sangat BERKHASIAT!

Wanita zaman sekarang lebih cenderung untuk bekerja dan mempunyai kerjaya yang baik. Namun begitu, seringkali ibu-ibu runsing tentang penyusuan susu ibu kepada anak mereka yang dikasihi… Jom kita ikuti tips dari Pa&Ma, berkaitan tentang Panduan (Tips) Penyusuan untuk Ibu yang Bekerjaya…

 Sentiasa Timba Ilmu
Apabila anda telah disahkan hamil, adalah digalakkan agar anda memasang niat ingin menyusukan bayi anda sepenuhnya sejurus selepas bayi dilahirkan. Sekarang ini terdapat banyak kelas persediaan susu ibu oleh kaunselor laktasi yang bertauliah bagi membantu ibu-ibu memahami dan mendalami ilmu penyusuan bayi. Setelah bayi selamat dilahirkan, adalah digalakkan agar anda rajin membaca bahan bacaan atau melayari website yang banyak berkongsi tentang penyusuan ibu seperti La Leche League Leader (LLLL) atau Kellymom. Anda juga digalakkan untuk sering bertanya kepada kaunselor laktasi bertauliah sekiranya terdapat sebarang masalah, kemusykilan. Hal ini juga boleh dirujuk kepada rangkaian Malaysian Breastfeeding Peer Counselor.

Pastikan Permulaan yang Betul

Ibu perlulah memahami dan mendalami cara penyusuan yang betul sebelum saat anda melahirkan bayi anda. Seperti di zaman kita belajar juga, “practise makes perfect”. Oleh itu, sejurus selepas bayi dilahirkan, anda perlu kerap menyusukan bayi anda. Ini kerana ia dapat membantu anda mengaplikasikan posisi yang betul, dan dalam masa yang sama dapat memastikan bayi melekap dengan betul sewaktu penyusuan.

Tips penyusuan yang berjaya adalah bergantung kepada kekerapan penyusuan. Maka dengan itu, anda harus menyusukan bayi mengikut keperluannya. Ibu juga digalakkan tidur bersama dengan bayi (co-sleeping) sepanjang tempoh penyusuan agar ibu dapat menyusukan bayi apabila bayi anda memerlukannya. Selain itu, ibu-ibu diingatkan agar tidak menggunakan puting kosong untuk menenangkan bayi kerana bayi akan mengalami kekeliruan puting.

Simpan Stok Susu

Bagi memastikan bayi anda mempunyai susu yang mencukupi sepanjang anda bekerja, anda haruslah memastikan anda menyimpan stok susu yang mencukupi. Sewaktu anda bekerja, anda haruslah mengamalkan amalan pam susu bagi menambahkan stok susu untuk bayi anda, bukan hanya untuk hari esok, malah untuk hari-hari kemudiannya. Adalah digalakkan anda memerah susu menggunakan tangan, iaitu melalui teknik Marmet. Namun sekiranya anda kesuntukan masa, anda boleh menggunakan pam susu yang bersesuaian dengan anda.

Peralatan Penyusuan yang Berkaitan

Lakukan persiapan seawalnya. Anda digalakkan untuk membeli dan menyediakan peralatan penyusuan yang penting. Tidak perlu membeli peralatan yang tidak berkaitan. Anda boleh bertanya dengan rakan-rakan, saudara-mara tentang peralatan yang penting untuk penyusuan.

Berkongsi dan Bincang dengan Majikan

Ambil sedikit masa untuk memberitahu dan berbincang dengan majikan bahawa anda memerlukan sedikit waktu untuk menge-pam. Ini bagi memastikan majikan anda memahami tentang keadaan anda dan memberikan sedikit waktu untuk anda mengambil masa sendiri bagi tujuan menge-pam. Seeloknya, anda boleh menyarankan kepada majikan anda untuk menyediakan satu bilik khas yang menyenangkan anda dan rakan-rakan anda untuk pam susu. Keadaan bilik yang selesa serta hati yang lapang dapat membantu anda menghasilkan susu yang banyak.

Perah atau Pam Susu di Pejabat

Anda digalakkan untuk mengamalkan dan memahirkan diri dengan teknik Marmet. Namun begitu, sekiranya anda kekurangan masa, maka breast pump boleh menjadi pilihan anda. Pilihlah breast pump yang bersesuaian dengan anda dan juga masa anda. Ini bagi memastikan anda dapat memerah dalam masa yang singkat dan tidak menganggu rutin harian bekerja anda. Sekiranya anda bekerja 8 jam sehari, anda digalakkan untuk lakukan pam susu sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali untuk sepanjang tempoh anda bekerja. Sekiranya tempoh anda bekerja lebih lama, maka tingkatkanlah kekerapan anda pam susu.

Kurangkan Tekanan

Tekanan kerja adalah normal untuk setiap individu yang bekerja. Tekanan ini mungkin akan menjejaskan penghasilan susu. Namun begitu, sekiranya anda mengamalkan rutin pam susu, anda mampu mengawal tekanan anda kerana sewaktu anda pam. Ini kerana ada suatu hormon yang dirembeskan yang mampu memberi ketenangan kepada anda. Ditambah pula sekiranya anda menatap gambar bayi anda. Sudah tentu anda akan rasa lebih tenang.

Corak Pemakanan yang Sihat

Corak pemakanan seharian yang sihat merupakan salah satu faktor kejayaan penyusuan. Jangan abaikan waktu makan utama seperti sarapan, makan tengahari, dan makan malam. Biar makan sedikit tetapi kerap. Anda digalakkan makan snek berkhasiat, buah-buahan di antara waktu-waktu makan yang utama.

Ikut Keperluan Bayi

“Supply and Demand”… Selagi ada demand (melalui direct breastfeeding atau pam susu), maka bekalan (supply) juga akan terhasil. Sekiranya penghasilan susu anda berkurangan, jangan risau. Ambil cuti dan luangkan masa sepenuhnya dengan bayi anda, serta menyusukan bayi anda secara eksklusif sepanjang anda bercuti. Sekiranya sukar untuk mendapatkan cuti, maka anda perlu menambah kekerapan pam susu dari biasa semasa anda berada di pejabat. Mahupun jika anda di rumah, amalkan pam susu dengan kerap di samping lebih kerap menyusukan bayi anda. Ini dapat meningkatkan penghasilan susu untuk keperluan bayi anda.

info dari Pa&Ma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *