Kehamilan,  Kekeluargaan,  Kesihatan Wanita,  Kisah Seorang Ibu,  Parenthood,  Pembesaran Anak-Anak

Anak Jarak Dekat (Tak Lebih 2 Tahun) – Macam Mana Nak Handle?

Selalu ada ibu mengeluh, penat dan letih nak uruskan 2 orang anak yang jaraknya tak lebih daripada 2 tahun. Memang lebih ideal jika jarak antara 2 orang anak lebih daripada 2 tahun. Secara logiknya, sebab yang sulung masih terlalu kecil dan perlukan perhatian ibu bapanya untuk membesar dengan penuh kasih sayang. Dan juga, sebab emosi anak-anak kurang daripada 2 tahun kadang tu sukar dijangka. Mereka juga mungkin susah untuk memahami. Bila dah dapat adik dan nampak ibu atau ayahnya lebih menumpukan perhatian pada adiknya, maka emosi dan jiwanya terganggu. Tapi kalau dah Allah beri rezeki awal, siapa kita untuk menolak? Jadi, macam mana kita nak handle situasi begini?

KakMah juga mempunyai pengalaman sebegini. Mula mengandungkan anak kedua sewaktu anak pertama berusia 10-11 bulan. Melahirkan anak kedua di saat anak yang pertama berusia 1 tahun 6 bulan. Memang mencabar, sangat mencabar. Emosi anak pertama perlu dijaga sebaiknya supaya dia tetap merasa kasih sayang ummi dan abahnya, walaupun anak kedua telah melihat dunia. Namun, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar untuk kami. Sikit-sikit tu, memang ada masanya yang sulung meragam, cranky, tantrum. Kita kena pandai pujuk dan dapatkan balik keyakinan anak.

KakMah nak share apa KakMah buat semasa baru melahirkan anak kedua. Masa ni adalah masa paling kritikal untuk create bonding antara anak pertama dan adiknya. Sebagai ummi dan abah kepada anak-anak kami, kami nak mereka saling menyayangi dan saling menjaga antara satu sama lain. Jadi, di awal kelahiran anak kedua adalah waktu paling penting sekali untuk memahamkan anak pertama, siapa adiknya.

  1. Selalu ucapkan perkataan “sayang”, peluk, cium anak
    • Kadang kita lupa buat benda simple ni. Anak dah cukup besar untuk mengerti perkataan sayang, tahu erti sayang. Walaupun adiknya telah dilahirkan, dia juga perlukan perhatian dan kasih sayang ibu ayahnya. Ini apa kami selalu buat pada Aisy, anak sulung kami. Bila Aisy datang pada kami dan peluk kami, kami balas semula pelukan anak dan cium pipi, dahinya. Dan penting sekali untuk ucapkan, “ummi sayaang Aisy”, “abah saaayanng Aisy”. (note: berapa banyak “a”, menunjukkan ekspresi dan keikhlasan kami pada anak). Lama kelamaan, Aisy pun pandai datang pada ummi dan abah dia dan ucap benda yang sama, “Aisy saayang ummi”, “Aisy saaayang abah”, sambil peluk. Senyuman ikhlas di bibir Aisy masa tu, sangat tidak dapat digambarkan.
  2. Bila adik tidur, luangkan masa bersama anak sulung
    • Berpantang anak kedua tidak sama seperti berpantang anak sulung. Semasa anak sulung, 100% diri kita memang serah pada anak, maknanya waktu rehat kita banyak bersama dengan anak. Bila anak tidur, kita tidur. Bila anak jaga, kita jaga.
    • Namun bila berpantang anak kedua, lain caranya. Bila baby tidur, waktu itulah kita perlu luangkan masa sepenuhnya dengan anak pertama pula. Layan anak main, layan anak berborak, layan karenah dia. Kalau anak nak tidur, dodoikan dia, peluk cium dia. Tapi jangan lupa pula title ibu sebagai “ibu dalam pantang”. Kenalah juga pantang larang, jangan angkat benda berat, terutama anak sulung. Tapi boleh ajak anak datang ke pangkuan kita dan peluk dia.
  3. Jangan selalu marah anak
    • Bila adik dah lahir, memang normal ada masanya mulalah anak cranky, tantrum. Serba tak kena semuanya. Aisy pun tak kurang hebatnya. KakMah perasan, bila KakMah dah spend time dengan baby, lepas tu baby dah tidur, KakMah tak layan dia sepenuhnya. Masa tu Aisy start meragam. Bila Aisy meragam, KakMah cuba elakkan daripada marah anak. KakMah istighfar dulu, tenangkan hati. Waktu tu, Aisy memang jerit, jerit marah. KakMah tunggu dia cool down, lepas tu panggil dia dengan nada yang lembut, pujuk, dan peluk Aisy seeratnya. Masa tu memang Aisy datang pada ummi nya ni dan teresak-esak menangis. Semasa Aisy dalam pelukan tu lah, KakMah nasihatkan dia. “Kalau Aisy buat macam ni, nanti jadi macam ni, Aisy juga yang sakit”. Contoh. Memang kena repeat nasihatkan benda yang sama banyak kali. Barulah dia faham dan tak buat dah.
  4. Tunjukkan kasih sayang pada adik
    • Sebagai ibu bapa, kita perlu terapkan pada anak sulung, untuk sayang pada adiknya. Jadi, sesekali bawa anak untuk lihat adik, sayang adik. Tunjukkan pada anak yang kita sayang keduanya, sama rata. Ajar anak untuk usap adiknya, cium adiknya. Tapi pastikan tangannya bersih. Dan pastikan juga anak sihat. Kalau selsema atau batuk atau demam, elakkan daripada anak cium anak kedua. Alihkan perhatiannya supaya dia tidak datang pada adiknya.
  5. Sebelum tidur, lakukan benda positif pada anak
    • Semasa anak dalam keadaan mamai untuk tidur, itu sebenarnya adalah dalam keadaan separa sedarnya. Masa ni, adalah masa paling baik untuk kita lemparkan kata-kata positif padanya, nasihatkan dia, berpesan pada dia. Selalunya, bila tengah dodoikan Aisy, KakMah akan mula bercakap dan menasihati Aisy bila nampak Aisy hampir pejamkan mata. Jangan pula nasihat panjang berjela. Biar ringkas dan padat. Setiap hari buat benda yang sama. Minda separa sedarnya tu, sebenarnya lebih senang untuk anak hadam.
    • Sebelum anak tidur, peluk, cium, dan ucapkan sayang padanya. Biar berkali-kali pun takpe. Aisy kalau nak tidur, memang nak ummi nya ada di sebelah. Jadi, kebiasaannya, KakMah tidurkan adiknya dulu, kemudian tidurkan Aisy. Layan dia borak, peluk dia. Kalau masa tu adik pun baru terjaga, sambil susukan adiknya, sambil itu KakMah tidurkan Aisy. Selalunya KakMah garukan belakang badan dia, sambil zikir. Kadang tu, KakMah pasang ayat suci Al-Quran melalui handphone.

Alhamdulillah, syukur sangat. Segala apa KakMah amalkan ni, membantu untuk bond kasih sayang antara 2 beradik ni. Walaupun kadang-kadang memang ada masanya gaduh juga, terutama bab berebut barang, KakMah buat benda yang sama.

Bukan nak kata kami perfect, anak-anak well behave sangat. Ada kalanya, ada juga Aisy pukul Ayra, bukannya tak pernah. Tapi apa KakMah buat, KakMah tengok balik dan cari balik kenapa Aisy tiba-tiba pukul adiknya. Kadang tu, dia buat perangai gitu disebabkan ummi abahnya sendiri. Mungkin masa tu, kami tak tumpukan sepenuh perhatian pada dia, jadi dia buat perangai sebab nak tarik perhatian kita semula. So, pujuk dengan baik dan ucapkan “sayang” tu.

Percayalah, ungkapan “sayang” tu sangat besar nilainya. Dan ia boleh mengubah situasi dengan baik.

Semoga perkongsian KakMah dapat memberi manfaat pada ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana. Kami juga sedang belajar untuk menjaga amanah Allah ini dengan baik. Jika anda ada sebarang cadangan atau pengalaman untuk dikongsi, boleh comment. In Shaa Allah, boleh ditambahkan tips ni nanti.

Ikhlas menulis, dari ummi Aisy dan Ayra.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *